LEVIATHAN: RAKSASA YANG KITA CIPTA SENDIRI

Pernah tak kita terfikir, kenapa wujudnya kerajaan? Siapa sebenarnya yang minta kita patuh pada undang-undang, bayar cukai, ikut arahan itu ini — dan tak lari dari semua itu walaupun dalam hati kita selalu rasa nak bebas? Di sinilah munculnya satu nama yang mungkin jarang disebut dalam sembang kopi kita, tapi sangat besar pengaruhnya dalam dunia moden: Thomas Hobbes.

Hobbes ni seorang ahli falsafah Inggeris dari abad ke-17. Dia hidup masa negara dia bergolak habis — perang saudara, perebutan kuasa, dan rakyat yang tak tahu lagi mana satu yang betul. Dalam kekecohan tu, Hobbes nampak satu benda: manusia kalau dibiarkan tanpa kawalan, boleh jadi sangat buas. Maka dia pun tulis satu buku yang meletup pada zamannya — Leviathan.

Dalam buku tu, Hobbes bayangkan negara macam seekor raksasa laut gergasi yang sangat kuat. Namanya diambil daripada makhluk dalam Bible — Leviathan, yang katanya tak boleh ditundukkan. Tapi Hobbes tak tulis tentang mitos atau kepercayaan; dia guna simbol tu untuk tunjukkan: hanya kuasa besar macam Leviathan saja yang boleh jaga manusia daripada saling berbunuhan.

Bagi Hobbes, manusia memang tamak, penakut, dan pentingkan diri. Kalau semua orang bebas buat apa saja, dunia ni akan jadi tempat yang sangat kejam — hidup manusia akan jadi “sunyi, miskin, keji, ganas, dan singkat.” Jadi, katanya, lebih baik kita semua setuju untuk serah kuasa pada satu kerajaan yang kuat — walaupun itu bermakna kita hilang sebahagian kebebasan kita. Janji hidup aman.

Zaman berubah, dan pandangan tentang Leviathan pun ikut berubah. Dua pemikir ekonomi moden, Daron Acemoglu dan James A. Robinson, datang dengan satu idea menarik dalam buku mereka The Narrow Corridor. Mereka kata, bukan semua Leviathan itu sama. Ada yang tiada langsung — negara lemah, rakyat terbiar. Ada yang terlalu kuat — negara tindas rakyat, semua orang kena ikut tanpa soal. Tapi yang terbaik ialah Leviathan yang terbelenggu.

Konsep “Leviathan shackled” ni sangat menarik. Bayangkan negara yang cukup kuat untuk mentadbir dan jaga ketenteraman, tapi tak cukup kuat untuk jadi diktator. Negara tu terikat dengan undang-undang, rakyat yang celik hak, dan institusi yang bebas. Macam mana Leviathan tu nak kekal kuat tapi tak menindas? Di situlah datangnya masyarakat. Masyarakat yang aktif, yang berani bersuara, yang tahu hak mereka — merekalah yang jadi tali yang membelenggu si raksasa.

Dalam dunia hari ni, kita nampak banyak contoh. Ada negara yang Leviathannya ganas, rakus, makan semua kebebasan rakyat. Ada negara yang langsung tak ada Leviathan — rakyat hidup dalam ketakutan, undang-undang hanya di atas kertas. Tapi ada juga negara yang cuba cari jalan tengah. Bukan mudah, sebab ia perlukan keseimbangan yang halus antara kuasa dan kawalan.

Macam mana dengan kita di Malaysia? Adakah Leviathan kita sedang tidur, sedang marah, atau sedang belajar untuk menjadi penjaga yang adil? Dan kita sebagai rakyat — adakah kita cukup sedar untuk jadi penimbang tara, bukan sekadar penonton?

Akhirnya, Leviathan itu bukan orang lain yang cipta. Kita sendiri yang wujudkan dia — melalui pilihan raya, melalui undang-undang, melalui sikap kita terhadap kuasa. Soalnya sekarang: kita nak cipta raksasa yang menjaga, atau raksasa yang membaham? Pilihan itu, seperti selalu, ada pada kita.

Kepulauan Maluku dan Rempah: Sejarah Penjajahan Belanda di Timur Nusantara

Di balik keindahan tropika gugusan Maluku (Moluccan Archipelago) yang terserak di timur kepulauan Indonesia, tersimpan kisah luka yang jarang dibicarakan. Maluku—yang terbahagi kepada tiga wilayah utama: Maluku Utara, Maluku Tengah, dan Maluku Selatan—merupakan tanah surga yang satu ketika dahulu menjadi rebutan kuasa-kuasa besar Eropah kerana satu sebab utama: rempah. Cengkih, pala, dan buah pelaga yang tumbuh subur di tanah vulkanik itu bukan sekadar penyedap rasa, tetapi simbol kekayaan, kuasa dan pengaruh global. Dan dalam kerakusan mencari emas hitam dunia purba ini, Belanda mengukir sejarah kejam yang tidak harus dilupakan.

Sebelum bayang Belanda menjejakkan kaki ke Nusantara, Melaka telah pun menjadi pelabuhan dagang terpenting Asia Tenggara. Kedudukannya yang strategik di Selat Melaka menjadikannya nadi perdagangan rempah antara Timur dan Barat. Namun, kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 membuka lembaran baru dalam perebutan rempah. Portugis yang menggantikan dominasi tempatan bukanlah penyelamat, tetapi penjajah awal yang memperkenalkan kekerasan kuasa senjata dalam ekonomi kepulauan ini. Mereka tiba dengan salib di tangan kanan, dan meriam di tangan kiri.

Namun kekejaman Portugis hanyalah pendahulu kepada kerakusan yang lebih sistematik: penjajahan Belanda melalui penubuhan Vereenigde Oostindische Compagnie atau VOC pada tahun 1602. Ini bukan sekadar syarikat, tetapi gabungan modal dan kuasa negara yang diberi hak mutlak oleh kerajaan Belanda untuk memonopoli perdagangan, membuat perjanjian, bahkan melancarkan perang. Dengan wajah korporat tetapi jiwa penjajah, VOC menjelma sebagai raksasa yang membenarkan penindasan atas nama keuntungan.

Maluku, khususnya Banda di Maluku Tengah, menjadi mangsa pertama kerakusan ini. Penduduknya yang selama ini bebas berdagang dengan pedagang Arab, Cina, India, dan Eropah, dipaksa tunduk kepada sistem monopoli. Sesiapa yang enggan menjual rempah mereka hanya kepada VOC, akan dianggap pengkhianat. Tahun 1621 menjadi titik hitam apabila Gabenor Jeneral Jan Pieterszoon Coen melancarkan pembantaian ke atas ribuan orang Banda. Desa-desa dibakar, lelaki dibunuh, wanita dan kanak-kanak dijadikan hamba. Pulau-pulau yang dulunya meriah dengan kebun rempah, kini sunyi dikuasai penjajah dan para buruh paksa.

Kekejaman ini tidak terbatas kepada kekerasan fizikal sahaja, tetapi juga penindasan budaya dan ekonomi. Penduduk Maluku Selatan, yang terkenal dengan warisan maritim dan adat resamnya, dipaksa mematuhi sistem tanam paksa dan perjanjian yang berat sebelah. Sementara itu, Maluku Utara yang pernah menjadi pusat kesultanan Islam seperti Ternate dan Tidore, digunakan Belanda untuk saling melemahkan satu sama lain melalui dasar pecah dan perintah. Satu demi satu kesultanan jatuh ke dalam jerat diplomasi tipu daya dan perjanjian licik VOC.

Namun dalam ketidakadilan itu, rakyat tempatan tidak pernah kehilangan semangat perlawanan. Dari gerakan kecil petani yang menyorok rempah untuk diseludup keluar, hingga kepada pemberontakan bersenjata, sejarah Maluku adalah juga sejarah keberanian dan harga diri. Mereka bukan sekadar mangsa; mereka adalah saksi dan pelaku dalam pentas besar penjajahan, yang menyedarkan kita bahawa kemerdekaan hari ini dibayar dengan darah dan air mata semalam.

Apabila kita memandang peta dan melihat gugusan kecil pulau-pulau Maluku yang nampak remeh di lautan luas, kita harus ingat bahawa tempat itulah, di sebidang tanah dan sebatang pokok rempah, dunia pernah berubah arah. Dari Melaka ke Banda, dari Portugis ke Belanda, tamadun beralih tangan bukan kerana peluru semata-mata, tetapi kerana cita-cita yang membunuh kemanusiaan demi menguasai aroma.

Kehidupan Bermasyarakat: Fitrah atau Pilihan?

Organisasi sosial, atau dalam istilah Islamnya ijtima‘ insani, bukanlah satu pilihan — ia adalah keperluan asas manusia yang bersifat fitrah. Manusia tidak diciptakan untuk hidup bersendirian, tetapi untuk hidup dalam masyarakat yang saling bergantung antara satu sama lain. Kehidupan secara berkumpulan bukan sahaja memudahkan urusan harian, tetapi juga menjadi asas kepada kelangsungan hidup manusia.

Salah satu contoh paling asas ialah keperluan kepada makanan. Allah SWT menciptakan manusia dengan kebergantungan kepada makanan untuk terus hidup. Bukan itu sahaja, Allah turut memberikan petunjuk bahawa makanan adalah keperluan semula jadi, serta mengurniakan kemampuan dan kehendak kepada manusia untuk mencarinya.

Namun, makanan tidak hadir dengan mudah. Ia memerlukan satu proses yang panjang — menanam, menuai, memproses, memasak — semua ini memerlukan ilmu, kepandaian, alat, dan tenaga. Tiada seorang pun manusia yang mampu menguruskan keseluruhan proses ini secara sendirian. Oleh itu, manusia memerlukan bantuan orang lain melalui semangat ta‘awun (kerjasama). Inilah yang menunjukkan bahawa kehidupan bermasyarakat adalah satu keperluan, bukan satu pilihan.

Keperluan kepada orang lain bukan hanya dalam hal makanan, tetapi juga dalam aspek perlindungan. Allah menciptakan pelbagai makhluk dengan kelebihan masing-masing. Banyak haiwan memiliki kekuatan fizikal yang jauh mengatasi manusia. Singa, gajah, lembu atau kerbau — semuanya mempunyai tenaga dan kekuatan yang tidak dimiliki oleh manusia.

Bagi mempertahankan diri, haiwan dianugerahkan alat semula jadi — taring, tanduk, kuku tajam, kulit tebal — tetapi manusia tidak. Sebaliknya, manusia diberikan akal dan tangan. Dengan gabungan ini, manusia mencipta alat pertahanan seperti lembing, pedang, dan perisai, yang berfungsi menggantikan kelebihan semula jadi yang ada pada haiwan. Ini menunjukkan bahawa kekuatan manusia bukan pada fizikalnya, tetapi pada keupayaan berfikir dan mencipta.

Namun begitu, walaupun manusia mampu mencipta alat untuk mempertahankan diri daripada binatang buas, itu tidak mencukupi untuk melindungi diri daripada ancaman manusia lain. Setiap individu juga memiliki senjata. Jika tiada kawalan, manusia boleh saling memusnahkan antara satu sama lain. Ini kerana manusia juga mempunyai sifat seperti haiwan — suka bermusuh dan cenderung kepada ketidakadilan apabila tiada pengawasan.

Di sinilah pentingnya kewujudan kuasa yang mengawal — seorang pemimpin yang dipersetujui, yang memiliki kewibawaan dan kekuatan untuk melindungi dan memelihara keharmonian masyarakat. Pemimpin ini mestilah seseorang daripada kalangan mereka sendiri, yang cukup kuat untuk mencegah mana-mana pihak daripada melancarkan serangan atau mencetuskan kekacauan. Inilah konsep mulk — kekuasaan atau kedaulatan yang menjadi tunjang kepada kestabilan sosial.

Dengan demikian, kewujudan kuasa dan struktur kepimpinan adalah keperluan mutlak dalam kehidupan manusia. Ia bukan hanya bersifat praktikal, malah merupakan sebahagian daripada fitrah manusia. Ada ahli falsafah yang berpendapat bahawa naluri kepatuhan kepada pemimpin juga wujud dalam haiwan seperti lebah dan belalang. Mereka tunduk kepada ketua melalui isyarat semula jadi dan struktur tubuh yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Namun begitu, tidak seperti haiwan yang hanya bergantung kepada fitrah dan hidayah Ilahi, manusia dikurniakan fikrah — keupayaan berfikir, mentadbir, dan membuat keputusan. Di sinilah terletaknya keistimewaan manusia: bukan sahaja tunduk kepada peraturan semula jadi, tetapi juga mampu membentuk masyarakat berdasarkan akal, ilmu, dan nilai yang dipersetujui bersama.

Kesimpulannya, kehidupan bermasyarakat adalah satu ketetapan fitrah yang menjadikan manusia sebagai makhluk yang benar-benar mulia dan berperanan di muka bumi. Tanpa organisasi sosial dan kekuasaan yang sah, manusia kembali kepada sifat kebinatangan — saling berlawan, saling menjatuhkan, dan akhirnya saling menghancurkan.

Abu Abbas Al-Saffah: Permulaan Dinasti Abbasiyyah dan Tragedi Berdarah di Istana

Saya berkesempatan mendalami kisah tentang seorang tokoh penting dalam sejarah Islam, iaitu Abu Abbas Al-Saffah. Beliau bukan sahaja pengasas kepada Khilafah Abbasiyyah, malah menjadi simbol perubahan besar dalam landskap politik umat Islam pada abad ke-2 Hijrah.

Siapakah Abu Abbas Al-Saffah?

Abu Abbas Al-Saffah merupakan keturunan Bani Hashim, iaitu kabilah yang sama dengan Nabi Muhammad SAW. Beliau adalah cicit kepada Al-Abbas, bapa saudara Nabi. Keterikatan nasab ini menjadi salah satu sebab beliau mendapat sokongan dalam perjuangannya menentang pemerintahan Bani Umayyah.

Kebangkitan Abbasiyyah

Pada tahun 132 Hijrah, setelah usaha panjang dan perancangan teliti, Bani Abbasiyyah berjaya menggulingkan Khilafah Umayyah. Kemenangan ini banyak disumbangkan oleh Abu Muslim Al-Khurasani, seorang pemimpin ketenteraan yang berpengaruh dari Khurasan. Dengan kejayaan itu, Abu Abbas diangkat menjadi khalifah pertama dan diberi gelaran “Al-Saffah”, yang bermaksud “yang menumpahkan darah”.

Jamuan Berdarah di Istana

Gelaran “Al-Saffah” bukan sekadar simbolik. Ia juga merujuk kepada peristiwa menggemparkan yang berlaku di awal pemerintahannya. Dalam usaha untuk mengukuhkan kekuasaan dan menghapuskan ancaman dari Bani Umayyah, Abu Abbas mengatur satu jamuan khas di istananya.

Beberapa orang bekas bangsawan dan penyokong kuat Bani Umayyah diundang ke majlis itu. Mereka hadir dalam suasana yang kelihatan mesra dan damai. Namun, di tengah-tengah jamuan yang mewah itu, apabila para tetamu sedang leka menikmati hidangan, pengawal-pengawal istana menyerbu masuk dan membunuh kesemua mereka secara tiba-tiba.

Darah mengalir di atas permaidani istana, dan kisah ini tersebar luas sebagai simbol kekejaman tetapi juga ketegasan Abu Abbas dalam mempertahankan kekuasaannya. Ia menjadi satu peristiwa berdarah yang menandakan berakhirnya dominasi Umayyah dan permulaan era Abbasiyyah.

Permulaan Era Baru

Walaupun Abu Abbas hanya memerintah selama empat tahun, pemerintahannya membuka jalan kepada kerajaan Abbasiyyah yang gemilang. Di bawah keturunannya, terutamanya Khalifah Harun al-Rashid dan Al-Ma’mun, dunia Islam mencapai kemuncak kegemilangan ilmu, budaya dan ketamadunan, dengan Baghdad sebagai pusatnya.

Memahami Creative Gap dan Cara Mengatasinya

Saya baru-baru ini membaca tentang konsep creative gap (jurang kreativiti) yang diketengahkan oleh pengacara radio Ira Glass. Konsep ini menjelaskan jurang antara citarasa kreatif seseorang dengan keupayaan mereka menghasilkan karya seperti yang diidamkan.

Apa Itu Creative Gap?

Apabila kita mula berkecimpung dalam bidang kreatif – sama ada menulis, melukis, mengambil gambar, atau menghasilkan reka bentuk – kita mempunyai citarasa yang tinggi. Kita tahu apa yang kelihatan atau kedengaran hebat kerana kita telah melihat dan mengagumi karya-karya berkualiti sebelum ini.

Namun, apabila kita mula mencipta, hasilnya jauh dari apa yang kita bayangkan. Inilah jurang yang dimaksudkan oleh Ira Glass – kita tahu apa yang baik, tetapi kita belum mampu mencapainya.

Kenapa Creative Gap Menyebabkan Ramai Berhenti?

Ramai yang mula berkarya akan merasa kecewa apabila hasil mereka tidak memenuhi standard yang mereka harapkan. Akibatnya, ramai yang memilih untuk berhenti terlalu awal kerana merasakan mereka tidak berbakat.

Hakikatnya, bakat sahaja tidak mencukupi. Seorang pereka, penulis, atau seniman perlu melalui proses panjang menghasilkan karya secara berterusan sebelum keupayaan mereka setanding dengan citarasa yang mereka miliki.

Bagaimana Mengatasi Creative Gap?

Hasilkan Banyak Karya Cara utama untuk merapatkan jurang ini adalah dengan terus berkarya. Jangan menunggu kesempurnaan – buat sebanyak mungkin karya sehingga keupayaan anda meningkat. Jangan Takut Hasil Buruk Semua orang melalui fasa menghasilkan karya yang lemah sebelum menjadi hebat. Terimalah hakikat ini dan anggap setiap karya sebagai langkah ke arah peningkatan. Bandingkan Diri Dengan Diri Sendiri, Bukan Orang Lain Jangan terperangkap dalam perangkap membandingkan diri dengan mereka yang lebih berpengalaman. Fokus pada kemajuan anda sendiri. Dapatkan Maklum Balas Kadangkala kita tidak dapat melihat kekuatan atau kelemahan karya kita sendiri. Minta pendapat daripada orang lain dan gunakan maklum balas itu untuk memperbaiki hasil kerja. Bersabar dan Terus Belajar Kejayaan tidak berlaku dalam sehari. Seniman, penulis, dan pereka hebat mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai tahap mereka sekarang. Bersabar dan terus belajar dari pengalaman serta kesilapan.

Kesimpulan

Creative gap adalah cabaran yang dihadapi oleh semua yang terlibat dalam bidang kreatif. Namun, jurang ini bukan alasan untuk berputus asa. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Dengan usaha yang konsisten, setiap individu mampu merapatkan jurang tersebut dan mencapai tahap yang mereka impikan.

Jadi, jika anda sedang bergelut dengan hasil kerja yang belum sempurna, jangan berhenti. Teruskan berkarya, dan suatu hari nanti, anda akan melihat perubahan besar dalam keupayaan anda.

Naïve Realism: Mengapa Kita Kadang-Kadang Sukar Faham Pandangan Orang Lain

Naïve realism adalah satu konsep psikologi yang menjelaskan bagaimana kita sering percaya bahawa cara kita melihat dunia adalah “realiti sebenar,” dan kita fikir orang lain sepatutnya melihatnya dengan cara yang sama. Maksudnya, kita rasa apa yang kita nampak dan faham adalah benar, dan jika ada orang yang tak setuju, mereka pasti salah faham atau kurang maklumat.

Contohnya dalam politik, jika kita menyokong satu parti atau dasar tertentu, kita mungkin fikir pandangan kita adalah yang paling betul, manakala orang yang berbeza pendapat pula kita anggap salah atau terpengaruh dengan maklumat yang tak tepat. Naïve realism ini membuatkan kita rasa yakin bahawa pandangan kita adalah objektif dan semua orang patut bersetuju.

Salah satu kesan buruk daripada naïve realism adalah ia boleh menyebabkan ketegangan dan perpecahan. Bila kita terlalu yakin dengan pandangan kita, kita cenderung untuk menolak pendapat orang lain tanpa cuba untuk memahami perspektif mereka. Kita juga mudah terperangkap dalam confirmation bias, di mana kita hanya mencari maklumat yang mengesahkan pandangan kita dan mengabaikan yang bertentangan.

Untuk mengatasi naïve realism, kita perlu sedar bahawa orang lain mungkin mempunyai pandangan yang sah berdasarkan pengalaman dan latar belakang mereka. Dengan menerima hakikat ini, kita boleh lebih empati dan terbuka dalam perbincangan, serta lebih memahami bahawa setiap orang melihat dunia dari lensa yang berbeza.

Definisi Tabi’in

Tabi’in merujuk kepada individu yang sempat bertemu dengan sekurang-kurangnya seorang sahabat Nabi SAW, beriman kepada baginda, dan meninggal dunia dalam agama Islam.

Menurut Khatib al-Baghdadi, seseorang dianggap sebagai tabi’in jika mereka pernah mendampingi atau berguru dengan para sahabat Nabi SAW. Namun, al-Hakim Abi Abdillah berpendapat bahawa seseorang tetap dikategorikan sebagai tabi’in walaupun hanya sekadar bertemu atau mendengar daripada sahabat Nabi SAW, tanpa perlu mendampingi mereka secara berterusan.

Para tabi’in juga diklasifikasikan mengikut beberapa tingkatan, dengan sebahagian mereka diakui sebagai golongan yang thiqah (dipercayai) dan sebagainya.

Hierarki Para Tabi’in

  1. Mereka yang pernah bertemu dengan Al’asyarah (10 sahabat yang dijamin syurga)
  2. Mukhadram
  3. Akabir At-Tabi’in
  4. Afdhalu Tabi’in
  5. Tabi’in yang pernah bertemu dengan sahabat Nabi secara umum.

Bandar-Bandar Bersejarah Islam dan Nama Moden Mereka

Dalam sejarah peradaban Islam, terdapat banyak bandar yang memainkan peranan penting dalam perkembangan politik, ekonomi, dan ilmu pengetahuan. Sesetengah bandar ini telah berubah nama seiring dengan perkembangan zaman, manakala yang lain masih mengekalkan nama asal mereka. Posting ini akan membincangkan beberapa bandar bersejarah Islam serta nama moden mereka yang masih wujud hingga ke hari ini.

1. Yathrib → Madinah, Arab Saudi

Yathrib adalah nama lama bagi Madinah sebelum kedatangan Rasulullah SAW. Setelah baginda berhijrah ke sini, bandar ini dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah, yang bermaksud “Bandar yang Bercahaya.” Madinah menjadi pusat pemerintahan Islam pertama dan lokasi Masjid Nabawi yang bersejarah.

2. Bakkah → Makkah, Arab Saudi

Sebelum dikenali sebagai Makkah, kota suci ini disebut sebagai Bakkah dalam beberapa teks Islam. Makkah adalah tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW dan lokasi Kaabah, kiblat bagi umat Islam.

3. Byzantium (Kontantinopel) → Istanbul, Turki

Byzantium (Konstantinopel/ Kustantiniyah) merupakan pusat tamadun Rom Timur sebelum ditawan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453. Setelah penaklukan tersebut, ia dinamakan Istanbul, menjadi ibu kota Empayar Uthmaniyah dan pusat tamadun Islam.

4. Al-Quds → Baitulmaqdis (Jerusalem), Palestin

Baitulmaqdis adalah salah satu kota paling suci dalam Islam kerana menempatkan Masjid Al-Aqsa, tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Ia juga dikenali sebagai Al-Quds, yang bermaksud “Yang Suci.”

5. Fustat → Kaherah, Mesir

Fustat merupakan ibu kota Islam pertama di Mesir yang dibangunkan oleh Amr bin Al-As pada tahun 641M. Kemudian, ia berkembang menjadi Kaherah (Cairo) yang kini menjadi ibu negara Mesir.

6. Kufa → Najaf, Iraq

Kufa adalah pusat ilmu pengetahuan dan politik semasa zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib. Kini, kawasan ini termasuk dalam wilayah Najaf, yang merupakan pusat keilmuan Islam Syiah.

7. Basra → Basra, Iraq

Basra ialah salah satu kota Islam tertua yang diasaskan pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Bandar ini masih dikenali sebagai Basra dan merupakan pelabuhan utama Iraq.

8. Isfahan → Isfahan, Iran

Isfahan adalah pusat ilmu pengetahuan dan seni bina Islam pada zaman Empayar Safavid. Nama bandar ini kekal sehingga kini.

9. Nishapur → Neyshabur, Iran

Bandar ini terkenal sebagai pusat ilmu dan budaya dalam sejarah Islam, terutamanya pada zaman Khalifah Abbasiyah. Kini, ia dikenali sebagai Neyshabur.

10. Rayy → Tehran, Iran

Rayy merupakan salah satu bandar penting dalam sejarah Parsi dan Islam. Kini, kawasan ini menjadi sebahagian daripada ibu kota Iran, Tehran.

11. Samarkand → Samarkand, Uzbekistan

Samarkand adalah pusat ilmu dan perdagangan di Jalan Sutera. Ia masih mengekalkan namanya dan dikenali dengan seni bina Islam yang indah.

12. Bukhara → Bukhara, Uzbekistan

Bukhara adalah pusat pembelajaran Islam dan tempat kelahiran ramai ulama terkenal seperti Imam Bukhari. Nama bandar ini masih kekal hingga hari ini.

13. Merv → Mary, Turkmenistan

Merv pernah menjadi salah satu bandar terbesar di dunia Islam pada zaman Abbasiyah. Kini, ia dikenali sebagai Mary di Turkmenistan.

14. Ghazni → Ghazni, Afghanistan

Ghazni pernah menjadi pusat kebudayaan Islam di Asia Tengah. Bandar ini masih dikenali sebagai Ghazni.

15. Herat → Herat, Afghanistan

Herat adalah pusat penting dalam sejarah Parsi dan Islam. Ia terkenal dengan madrasah dan masjid bersejarahnya serta mengekalkan nama asalnya.

16. Shiraz → Shiraz, Iran

Shiraz terkenal sebagai pusat kesusasteraan dan seni Islam. Nama bandar ini masih kekal hingga kini.

17. Qurtuba → Córdoba, Sepanyol

Qurtuba adalah pusat keilmuan Islam di Andalusia pada zaman pemerintahan Umayyah. Kini, ia dikenali sebagai Córdoba di Sepanyol.

18. Iskandariyah → Alexandria, Mesir

Iskandariyah diasaskan oleh Alexander the Great dan kemudian menjadi salah satu pusat ilmu Islam. Kini, ia dikenali sebagai Alexandria.

19. Tunis → Tunis, Tunisia

Tunis adalah ibu kota Tunisia dan pusat penting dalam sejarah Islam. Ia masih mengekalkan nama asalnya.

20. Tangier → Tangier, Maghribi

Tangier adalah salah satu pelabuhan utama di Maghribi sejak zaman purba. Bandar ini masih dikenali sebagai Tangier.

Kesimpulan

Bandar-bandar ini telah memainkan peranan besar dalam perkembangan tamadun Islam, sama ada sebagai pusat pemerintahan, perdagangan, atau keilmuan. Walaupun banyak yang telah mengalami perubahan nama dan struktur, warisan Islam di bandar-bandar ini masih boleh dilihat hingga ke hari ini.

Bandar Kufah Dan Sedikit Sejarah Mengenainya

Kufah kini terletak di Iraq, kira-kira 10 kilometer timur laut bandar Najaf dan 170 kilometer selatan Baghdad, di tebing barat Sungai Eufrat. Ia berada di kawasan yang secara sejarah dikenali sebagai Mesopotamia, sebuah wilayah yang subur dan strategik.

Sejarah Kufah bermula pada abad ke-7 Masihi, semasa pengembangan Islam ke luar Semenanjung Arab. Kufah ditubuhkan sekitar tahun 638 M (17 H) oleh panglima Muslim, Sa’ad bin Abi Waqqas, atas arahan Khalifah Umar bin Khattab, selepas kemenangan dalam Perang Qadisiyyah melawan Empayar Sassanid Parsi. Pada mulanya, Kufah dibina sebagai kem tentera untuk menyokong penaklukan wilayah Parsi, tetapi ia cepat berkembang menjadi sebuah bandar yang penting. Umar memilih lokasi ini kerana ia sesuai dengan tabiat orang Arab yang lebih suka tinggal di kawasan terbuka berhampiran air, dan Kufah menjadi pangkalan strategik.

Pada zaman Khalifah Ali bin Abi Thalib (656–661 M), Kufah menjadi pusat pemerintahan Islam selepas ibu kota dipindahkan dari Madinah. Ali memilih Kufah kerana sokongan kuat penduduknya, yang kemudian menjadi asas kepada perkembangan aliran Syiah. Namun, di bandar ini juga Ali dibunuh pada tahun 661 M oleh Ibnu Muljam di Masjid Kufah semasa sedang bersolat. Peristiwa ini menandakan berakhirnya zaman kekhalifahannya dan memperdalam konflik politik dalam Islam.

Kufah juga terkenal sebagai pusat ilmu pengetahuan dan peradaban. Ramai sahabat Nabi seperti Abdullah bin Mas’ud menetap di sini, mengajar tafsir Al-Qur’an dan hadis. Bandar ini melahirkan tokoh-tokoh besar seperti Imam Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi. Walau bagaimanapun, Kufah turut mempunyai sejarah kelam, seperti pengkhianatan penduduknya terhadap Husain bin Ali, cucu Nabi Muhammad, yang membawa kepada Tragedi Karbala pada tahun 680 M.

Selepas penubuhan Baghdad pada abad ke-8 oleh Dinasti Abbasiyah, peranan Kufah sebagai pusat politik semakin berkurangan, tetapi pengaruh budaya dan keagamaannya kekal, terutama bagi komuniti Syiah. Sehingga kini, Kufah diingati sebagai salah satu bandar bersejarah yang penting dalam tamadun Islam.

Vasa Syndrome: Kesilapan Pengurusan yang Boleh Membinasakan Sesebuah Projek

Vasa Syndrome merujuk kepada kegagalan projek akibat perancangan yang lemah, komunikasi yang kurang berkesan, dan pengabaian terhadap amaran awal. Fenomena ini sering berlaku dalam dunia perniagaan dan pengurusan projek, di mana keputusan dibuat tanpa mengambil kira realiti di lapangan.

Istilah ini berasal daripada kisah kapal Vasa, sebuah kapal perang Sweden yang tenggelam pada tahun 1628 dalam pelayaran sulungnya. Kapal ini dibina dengan terlalu banyak senjata dan reka bentuk yang tidak stabil, tetapi pihak pengurusan tetap meneruskan pembinaannya walaupun jurutera memberi amaran tentang kelemahan strukturnya. Akhirnya, kapal itu karam sebelum sempat berlayar jauh.

Dalam dunia moden, Vasa Syndrome sering berlaku apabila:

  • Projek teknologi dibina dengan spesifikasi yang terlalu kompleks tetapi kurang diuji.
  • Pemimpin organisasi membuat keputusan tanpa mempertimbangkan pendapat pakar.
  • Komunikasi antara pasukan tidak jelas, menyebabkan masalah kecil menjadi besar.

Bagaimana untuk mengelakkan Vasa Syndrome?

  • Lakukan kajian dan ujian menyeluruh sebelum melancarkan sesuatu projek.
  • Pastikan komunikasi antara semua pihak berjalan dengan baik.
  • Dengar dan bertindak atas maklum balas dari setiap peringkat organisasi.

Ringkasnya, elakkan membuat keputusan secara terburu-buru dan pastikan setiap aspek projek difikirkan dengan teliti agar tidak mengulangi kesilapan kapal Vasa.